PM Bersama 500 Jemaah Sertai Solat Hajat Sempena Tahun Baru

PUTRAJAYA: Seperti yang diumumkan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra, untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baharu 2022.

Tiba di Masjid Putra pada jam 7.15 malam, Ismail Sabri diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sebelum menunaikan solat Maghrib.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Solat hajat selepas solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali.

Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ismail Sabri meninggalkan Masjid Putra kira-kira 8.30 malam.

Terdahulu dalam satu hantaran di Facebook semalam, Ismail Sabri berkata kerajaan mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan tahun baharu dan menggantikannya dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir di beberapa negeri.

Sehubungan itu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) diminta untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada 31 Dis di Masjid Putra.

Beliau mengajak Keluarga Malaysia untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra atau mengikuti siaran secara langsung program berkenaan di kaca televisyen, manakala bagi bukan beragama Islam pula disarankan melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles