PM Beri Jaminan Sempadan Negara Akan Dibuka Segera

PHNOM PENH: Kerajaan akan membuka sempadan negara tidak lama lagi, sekaligus memudahkan proses perjalanan terutama bagi mereka yang menetap di luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pada itu berkata, rancangan membuka sempadan negara tergendala disebabkan penularan varian Omicron.

“Kita hampir mengumumkan Malaysia telah memasuki peringkat endemik tetapi pada Disember 2021 varian Omicron, yang merebak pantas telah dikesan.

“Omicron ini tidak seteruk Delta. Ia cepat merebak tetapi tidak begitu berbahaya seperti Delta,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, malam tadi.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup dengan COVID-19.

“Kita perlu menerimanya (COVID-19) sebagai penyakit lain seperti denggi,” katanya.

Kes harian positif COVID-19 kembali melonjak di negara ini, susulan penularan varian Omicron.

Meskipun mencecah kira-kira 27,000 kes setiap hari, namun majoriti kes adalah kategori 1 dan 2 berikutan kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini.

“Saya tahu ramai di antara anda tidak sabar untuk pulang ke rumah. Saya difahamkan ada di antara anda yang sudah hampir dua tahun tidak pulang ke rumah.

“Jadi dalam waktu yang terdekat, kita akan mula buka sempadan kita untuk seluruh dunia dan tuan-tuan boleh balik ke Malaysia,” katanya.

Dilaporkan seramai 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja dengan 2,000 daripada mereka berada di sekitar ibu kota, Phnom Penh.

Ismail Sabri berkata, pembukaan sempadan negara adalah penting kerana ramai yang terkesan dengan penutupan sejak dilanda pandemik COVID-19 terutama yang terbabit dalam sektor pelancongan.

“Oleh itu, kita akan membukanya kembali. Sekatan pergerakan rakyat memberikan impak yang besar buat setiap individu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles