BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara-negara Asia harus tampil sebagai peneraju dalam membentuk orde ekonomi global seterusnya dengan menulis semula agenda sendiri serta menentukan hala tuju masa depan rantau ini.
Menurut beliau, Asia tidak boleh sekadar menjadi pengikut kepada kuasa luar, sebaliknya perlu memikul tanggungjawab besar untuk memastikan lembaran baharu ekonomi dunia turut dipacu oleh rantau ini.
“Landskap ekonomi global ketika ini dipenuhi pelbagai gangguan, kebimbangan serta perpecahan yang semakin ketara. Namun keadaan ini seharusnya dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh kerjasama antara negara-negara Asia.
“Tugas kita adalah memastikan gangguan ini menjadi pemula kepada perpaduan yang lebih adil, bukannya mukadimah kepada perpecahan yang lebih parah,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, Asia kini merupakan enjin pertumbuhan ekonomi global, selain menjadi tempat majoriti anak muda dunia serta pusat perkembangan teknologi paling dinamik.
“Kita bukan sekadar objek dalam strategi pihak lain. Kita adalah penentu kepada takdir kita sendiri,” tegas beliau.