PM Arah Segerakan Pemulihan Bekalan Beras Putih Tempatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk segera memulihkan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan bahawa Perdana Menteri turut menggesa kementerian terbabit supaya memberikan perkembangan berkala mengenai usaha pemulihan tersebut kepada rakyat.

“Insya-Allah, pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa,” katanya dalam satu taklimat harian hari ini.

Dalam perkembangan lain, Tunku Nashrul menegaskan bahawa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak bertindih dengan peranan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, selaku jurucakap Kerajaan Madani.

Menurutnya, taklimat harian tersebut bertujuan memberi fokus kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, termasuk penjelasan mengenai isu-isu mendesak serta arahan kepada kementerian dan agensi bagi memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

“Peranan Fahmi pula adalah untuk menjelaskan isu serta keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa taklimat harian PMO bukanlah pengganti kepada jurucakap kerajaan, sebaliknya bertindak sebagai pelengkap bagi memperkukuh struktur komunikasi kerajaan.

“Dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, serta menangani penyebaran fitnah dan maklumat palsu dengan lebih pantas dan berkesan,” tambahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dalam usaha memperkukuh sistem demokrasi negara.

RUU ini bertujuan memberikan lebih kebebasan kepada Parlimen dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya tanpa campur tangan pihak eksekutif.

“Parlimen akan diangkat sebagai simbol kebebasan bersuara serta menjulang proses demokrasi negara, sejajar dengan prinsip demokrasi matang yang diterapkan dalam pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya.

Beliau turut berharap RUU ini mendapat sokongan penuh daripada semua Ahli Parlimen bagi memastikan institusi Parlimen berfungsi secara lebih bebas dan berkesan.

BBerkaitan

Latest articles