DOHA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas ibu negara Qatar, Doha, yang disifatkannya sebagai tindakan biadab, tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Anwar berkata serangan itu bukan sahaja mencabul kedaulatan Qatar, malah merupakan provokasi melulu yang mengancam keselamatan rantau ini.
“Lebih parah, kezaliman ini dilakukan terhadap Qatar yang memainkan peranan penting sebagai pengantara. Menyerang Qatar bererti mensabotaj secara terang-terangan usaha damai tersebut. Serangan ini mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kecemasan Arab-Islam di sini hari ini.
Perdana Menteri menegaskan serangan berterusan Israel terhadap Gaza telah mengakibatkan kemusnahan luar biasa, termasuk keluarga yang musnah sama sekali, hospital yang hancur, dan kanak-kanak yang terkorban di bawah runtuhan.
Beliau turut mengecam perluasan kekejaman Israel ke negara lain termasuk Lubnan, Syria, Yaman, Iraq dan Iran, sambil menyifatkannya sebagai penghinaan mutlak terhadap asas ketamadunan dan tatanan antarabangsa.
“Israel telah mengisytiharkan bahawa tidak akan pernah ada negara Palestin. Ini adalah pengisytiharan apartheid kekal dan penolakan terhadap semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta hak rakyat Palestin menentukan nasib sendiri,” katanya.
Anwar menegaskan rakyat dunia sudah muak dengan kecaman dan deklarasi semata-mata, sambil menuntut tindakan tegas dikenakan terhadap Israel termasuk menghentikan hubungan diplomatik dan perdagangan.
Beliau turut merujuk kepada flotila bantuan kemanusiaan yang sedang belayar menuju Gaza, yang menurutnya mesti dibenarkan sampai ke destinasi tanpa halangan.
“Membiarkannya dipatahkan dengan keganasan adalah mengkhianati amanah hati nurani kita: mempertahankan yang lemah, melindungi yang tertindas, memberi makan kepada yang lapar,” katanya.
Perdana Menteri menyeru agar negara-negara Islam dan Arab yang mempunyai hubungan istimewa dengan Amerika Syarikat menggunakan pengaruh mereka untuk menghentikan kekejaman Israel.
“Kecaman tidak akan menghentikan peluru berpandu. Deklarasi tidak akan membebaskan Palestin. Tindakan punitif yang keras mesti dilaksanakan. Semoga Allah mengurniakan kita keberanian untuk bertindak dan kekuatan untuk bertahan,” katanya.