PM Anwar Ibrahim Terima Kunjungan Hormat Delegasi China, Perkukuh Hubungan Strategik

PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat delegasi dari China yang diketuai oleh Jeneral Liu Zhenli, Ketua Turus, Jabatan Turus Bersama Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China di Perdana Putra, petang semalam.

Pertemuan tersebut menekankan hubungan kukuh Malaysia-China yang telah terjalin lebih lima dekad. Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak menyentuh pelbagai isu strategik serta peluang kerjasama yang berkaitan dengan kepentingan bersama kedua-dua negara sahabat.

“Malaysia dan China bersedia untuk memperhebatkan usaha kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan, yang berteraskan persefahaman dan kepercayaan,” ujar Perdana Menteri, dalam satu hantaran di laman facebooknya malam tadi.

Selain itu, Tambah Anwar lagi perbincangan turut memberi tumpuan kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia. Dalam kapasiti tersebut, Malaysia bakal menganjurkan buat pertama kali persidangan ASEAN+GCC+China, mencerminkan usaha negara untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa.

Mengenai isu Laut China Selatan, Perdana Menteri menegaskan keperluan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian melalui pendekatan aman, saluran diplomasi, dan jalur perundangan antarabangsa.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik dan strategik, serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan China.

BBerkaitan

Latest articles