KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa agar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang terus dikurniakan kesihatan yang baik selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Menerusi satu hantaran ringkas di platform X, Anwar menitipkan : “Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Hj Hadi, Insya-Allah,” sambil memetik laporan Harian Metro yang memaklumkan bahawa Abdul Hadi kini berada dalam keadaan stabil.
Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Hj Hadi, Insya-Allah https://t.co/5kRH08Q6b9
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) June 18, 2025
Anak kepada Abdul Hadi, Dr Muhammad Khalil—yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu—memaklumkan bahawa prosedur rawatan ke atas Ahli Parlimen Marang itu telah berjaya dilaksanakan.
Bagaimanapun, ketika dihubungi media, Muhammad Khalil tidak memperincikan jenis rawatan yang dijalankan dan hanya menyatakan bahawa bapanya kini dalam keadaan baik serta memohon orang ramai untuk terus mendoakan kesembuhan beliau.
“Atas nasihat doktor, beliau (Abdul Hadi) tidak dibenarkan menerima pelawat buat masa ini,” katanya.
Untuk rekod, Abdul Hadi sebelum ini pernah menjalani beberapa sesi rawatan susulan di IJN.