PM Akan Terima Penasihat Khas Kesihatan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menerima seorang lagi Penasihat Khas yang bertanggungjawab menasihati beliau dalam bidang kesihatan.

Abdul Latiff berkata Penasihat Khas itu kini sedang dalam proses lantikan.

Buat masa ini, Perdana Menteri mempunyai tiga Penasihat Khas iaitu bagi undang-undang dan hak asasi manusia, agama dan kesihatan.

“Penasihat yang dilantik ini dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka, yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, berhubung soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah yang bertanya jumlah Penasihat Khas Perdana Menteri yang dilantik dan bidang mereka, serta implikasi kewangan bagi setiap lantikan dan keputusan penting yang dibuat hasil daripada nasihat yang diberikan.

Abdul Latiff berkata, anggaran kos bulanan keseluruhan bagi setiap satu pejabat Penasihat Khas yang dilantik, termasuk kos pegawai di pejabat itu adalah RM50,000.

“Kos ini termasuk bayaran gaji dan emolumen Penasihat Khas serta pegawai yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat itu,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).

BBerkaitan

Latest articles