KUALA LUMPUR: Solidariti Malaysia bersama rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis akan diserlahkan menerusi Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin, malam esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir ke himpunan berkenaan.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Perhimpunan tersebut dijadualkan bermula pukul 7 malam dan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah.
Perdana Menteri serta pemimpin-pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijadualkan menyampaikan ucapan masing-masing pada program berkenaan.
Himpunan adalah terbuka kepada semua pihak termasuk NGO, parti politik serta rakyat pelbagai kaum dan para peserta digalakkan memakai baju berwarna putih.