KUALA LUMPUR: Selepas ditutup pada 8 Februari lalu, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan kembali beroperasi mulai esok.
Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, operasi PKRC berkenaan adalah dalam skala yang lebih kecil, selain memberi laluan kepada hospital-hospital lain menumpukan rawatan terhadap kes bukan kes COVID-19 yang telah tertangguh selama dua tahun.
“Ini bukanlah kerana kita tidak cukup katil-katil di hospital tapi ini lebih kepada langkah langkah pre-emptive (waspada) dan memberi ruang hospital-hospital kita yang mula memberi rawatan bukan Covid yang tertangguh dua tahun supaya tidak terganggu,” katanya di sidang media hari ini.
Terdahulu, PKRC MAEPS ditutup pada 8 Februari lalu berikutan kes membabitkan kategori tiga, empat dan lima menunjukkan angka penurunan mendadak.
Sementara itu, Khairy memberitahu PKRC tersebut akan menumpukan rawatan kepada pesakit COVID-19 yang berisiko rendah di kawasan Lembah Klang.
Untuk permulaan, sebanyak 100 katil disediakan di PKRC berkenaan.
“Ini strategi kita untuk menangani gelombang Omicron di mana ada katil untuk risiko rendah disediakan untuk tempoh singkat daripada gelombang Delta,” jelasnya.
Beliau menjangkakan PKRC MAEPS yang terletak di Serdang itu akan beroperasi sehingga gelombang varioan Omicron reda kelak.