KUALA LUMPUR — Kenyataan Rafidah adalah tidak wajar dan menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap realiti hubungan antarabangsa.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama, Parti Keadilan Rakyat Malaysia, Haji Amidi bin Abdul Manan, mengkritik kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam membantu rakyat Palestin.
“Adakah Tan Sri akan tersenyum gembira jika suatu hari nanti Malaysia ditimpa musibah, lalu negara lain memberi alasan bahawa mereka juga mempunyai masalah dalaman yang perlu diselesaikan?” ujarnya.
Menurutnya Israel tidak pernah tunduk kepada desakan antarabangsa, termasuk keputusan penyelesaian dua negara yang telah dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru, syarat atau kondisi yang diletakkan oleh Rafidah untuk bantuan kepada Palestin hampir mustahil untuk direalisasikan berdasarkan sejarah konflik tersebut.
“Kewujudan negara Israel sendiri dipertikaikan, dan Malaysia tidak pernah mengiktirafnya. Maka, mengapa perlu menunggu keputusan yang jelas terhadap pemilikan tanah-tanah di Palestin sebelum memberikan bantuan?” katanya dalam satu kenyataan.
Awal hari ini, Bekas menteri, Rafidah Aziz, menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Rafidah berkata walaupun Gaza perlu dibangunkan semula dan niat itu wajar dipuji, terdapat isu mendesak dalam negara yang perlu diselesaikan.
Antara lain, bekas menteri itu merujuk kepada keadaan “menyedihkan” di sekolah-sekolah luar bandar yang sering diketengahkan di media.
Sementara itu Amidi turut menempelak kenyataan Rafidah dengan menyatakan bahawa dalam peperangan terkini antara Hamas dan Israel, pihak Zionis telah menyerang secara membuta tuli ke atas kemudahan awam termasuk masjid, sekolah, dan hospital.
“Adakah beliau sedar bahawa solat Hari Raya dilakukan dalam runtuhan bangunan? Malah, doktor dan petugas perubatan ditangkap atau terbunuh ketika hospital dibom,” tambahnya.
Selain itu, Amidi turut membangkitkan isu penggunaan dana awam yang dibangkitkan Rafidah. Beliau bersetuju bahawa penggunaan dana awam perlu telus, namun mempersoalkan keutamaan projek mega yang pernah dilaksanakan ketika Rafidah berada dalam kabinet.
“Jika penggunaan wang rakyat menjadi persoalan, mengapa ketika beliau dalam kabinet, projek mega seperti patung helang di Langkawi dan Litar Lumba F1 di Sepang diteruskan sedangkan masih terdapat sekolah daif, jalan rosak, dan hospital uzur di luar bandar?” soalnya.
Menurutnya, jika setiap negara mengamalkan sikap mementingkan isu dalaman semata-mata, maka bantuan kemanusiaan antarabangsa akan lumpuh dan mengakibatkan lebih banyak penderitaan.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sekolah, hospital, dan tempat ibadah sebagai usaha awal dalam membantu pembangunan semula Gaza dengan kerjasama antara rakyat dan sektor swasta.
Sementara itu, Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyambut baik dan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif Kerajaan Malaysia, khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha mempercepatkan pembangunan semula Gaza, Palestin.
GPM turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun untuk menubuhkan dana pembangunan melalui inisiatif Asia Timur, yang akan memberi tumpuan kepada pembinaan semula infrastruktur penting seperti sekolah, hospital, dan masjid.
Sebagai sebuah pertubuhan yang komited terhadap keamanan dan kesejahteraan global, GPM ingin memberikan jaminan untuk terus menyokong proses pemulihan Gaza melalui pelancaran#KempenPulihkanGaza yang telah dimulakan pada 16 Januari 2025 yang lepas katanya dalam satu kenyataan.
GPM percaya bahawa usaha ini bukan sahaja akan memulihkan Gaza dari segi fizikal, tetapi juga memberikan harapan dan kekuatan kepada rakyat Palestin untuk terus bertahan dan membina masa depan yang lebih baik. Kami mengajak semua pihak, termasuk rakyat Malaysia dan organisasi masyarakat sivil, untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini.