PKR Tak Senang Dengan Kritikan, Sekarang Jadi Parti Diktator

KUALA LUMPUR: Selepas meninggalkan perjuangan reformasi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini mendakwa PKR sebagai sebuah parti yang diterajui oleh seorang diktator.

Dakwaan Azmin itu merujuk kepada pengguguran beberapa pemimpin PKR yang sebelum ini didakwa mesra-Azmin dengannya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini diterajui oleh seorang diktator yang mana ahli kepimpinan parti itu tidak boleh menyuarakan pendapat atau mengkritik parti?

“Macam mana orang seperti ini ingin memimpin negara?

“Kalau parti sendiri pun tak boleh uruskan, macam mana rakyat yakin boleh memimpin?” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pentas Perdana Perikatan Nasional (PN) Kuala Langat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di Kampung Kanchong Darat, Banting, malam tadi.

Malah ujar Azmin, tindakan ke atas beberapa pemimpin itu meragukan.

“Kenapa Chua (Chua Tian Chuang) perlu mengambil kedudukan itu (digugurkan) untuk menjauhkan diri daripada saya? Saya bukan lagi dalam PKR, saya dipecat”

“Tetapi dia (Chua) masih dibayangi oleh Azmin dalam Keadilan dan PH. Saya tidak faham,” ujarnya.

Tian Chua yang juga bekas Timbalan PKR menolak dakwaan bahawa dia pernah menjadi sebahagian daripada puak Azmin, sebagaimana memetik laporan sebuah portal.

Terdahulu ketika berceramah, Azmin menyelar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana mendakwa menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih.

Katanya, kedua-dua parti berkenaan hipokrit kerana berkata sedemikian walaupun meletakkan calon yang terpalit dengan tuduhan rasuah.

“Ada calon BN-UMNO sedang turun naik mahkamah, ada di kalangan mereka yang bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa. Tetapi mereka langsung tidak merasa malu untuk mengemukakan kertas penamaan calon pada 5 November lalu”

“Begitu juga dengan PH, mereka mendabik dada bahawa mereka kerajaan reformasi ingin membawa islah dan pembaharuan.”

”Mereka menentang amalan rasuah tetapi berapa banyak calon PH yang sedang berdepan dengan tuduhan rasuah di mahkamah.” katanya sambil menjelaskan berbeza dengan PN, di mana tiada seorang pun calon pilihan rayanya terjerat dalam mana-mana kes mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles