PKR Tak Halang Sesiapa Untuk Kembali Aktif Dalam Parti, Termasuk Rafizi

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penglibatan sepenuhnya bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ke dalam parti itu, setelah wujud desas-desus beliau ingin kembali aktif dalam politik.

Malah Anwar berkata, PKR tidak pernah menghalang mana-mana ahli khususnya pimpinan tertinggi untuk kembali memperkukuhkan parti itu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Dia (Rafizi) ahli parti dan ada hak seperti mana semua ahli. Kita mengalu-alukan penyertaan dan harus merangkul semua,” katanya pada sidang media ketika bersiaran langsung di Facebook rasminya, hari ini.

Sejak minggu lalu, Rafizi yang juga bekas Naib Presiden PKR dikhabarkan ingin kembali ke arena politik tanah air.

Malah dikatakan ramai pihak di dalam parti, terutama golongan muda mahu Rafizi menyertai teraju utama PKR, dengan melantiknya sebagai Timbalan Presiden sewaktu pemilihan PKR, April ini.

Bukan sahaja Rafizi, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga didakwa turut akan mengambil tindakan yang sama.

BBerkaitan

Latest articles