Susulan pengumuman gencatan politik yang diumumkan Umno, PKR memaklumkan ia menghormati kenyataan yang dibuat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan memperkukuh sokongan Umno kepada Perikatan Nasional.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam pada itu berkata partinya akan meneruskan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
“PKR mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat presiden Umno hari ini.
“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan ahli-ahli parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Zahid yang juga Presiden Umno mengumumkan “gencatan politik” berikutan Covid-19 dan memberi fokus kepada agenda membantu rakyat.