PKR Sahkan Keputusan Pemilihan

KUALA LUMPUR: PKR secara rasmi mengesahkan keputusan pemilihan bahagiannya yang menyaksikan beberapa nama besar parti itu tewas.

Antara nama besar yang kecundang termasuk Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Timbalan Menteri Pembangunan Wanita K Saraswathy (Bukit Bintang), Ketua Pemuda PKR Adam Adli (Hang Tuah Jaya), dan Pengarah Strategi PKR Akmal Nasir (Johor Bahru).

Kesemua mereka memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dalam kenyataan rasmi berkata, keputusan akhir telah dimuktamadkan dan boleh diakses di laman rasmi parti.

“Proses ini menunjukkan demokrasi dalaman parti berjalan dengan matang dan terbuka,” ujar beliau.

Dalam langkah reformasi pemilihan parti, Fuziah turut mengumumkan pelaksanaan sistem perwakilan berkadar bagi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan datang, iaitu satu langkah signifikan yang memberi ruang kepada calon tewas untuk tetap menyumbang dalam hala tuju parti.

“Yang menang tidak menang semuanya, dan yang kalah tidak kehilangan segala-galanya,” tegas Fuziah, sambil menggambarkan semangat keterangkuman dalam struktur baru parti.

Sistem ini membolehkan calon yang tewas dalam pertandingan jawatan ketua bahagian tetap menghantar perwakilan ke Kongres PKR, berdasarkan jumlah undi yang diterima.

Ia dilihat sebagai cara merapatkan jurang pengaruh dan membina konsensus dalam kalangan pelbagai blok dalam parti.

Dalam memastikan maklumat disampaikan secara menyeluruh, MPP turut akan mengadakan jelajah pra-kongres di seluruh negara bagi memberi pencerahan mengenai perubahan sistem dan proses pemilihan kepimpinan.

Selain itu, satu platform khas akan disediakan bagi semua calon kepimpinan pusat bertemu terus dengan perwakilan – satu pendekatan yang menggalakkan keterbukaan, perdebatan sihat dan pengenalan calon kepada akar umbi.

BBerkaitan

Latest articles