PKR Sabah Bergolak, Protes Terhadap Christina Liew

KUALA LUMPUR: Perpecahan PKR Sabah akan berterusan sekiranya Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdiam diri dalam protes pimpinan parti di peringkat negeri terhadap Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Terdahulu 16 Ketua Cabang PKR bertindak tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri sebagai tanda mogok terhadap Christina.

Pengerusi Sekretariat Ketua-ketua Cabang Sabah, Simsudin Sidek berkata, kemelut itu tidak perlu diheret terlalu lama sehingga pemilihan parti yang bakal berlansung dalam masa terdekat.

”Ini adalah sebagai tanda protes daripada ketua-ketua cabang yang telah menolak kepimpinan Christina Liew. Penolakan ini juga termasuk oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ketua Wanita, Ketua Srikandi dan Ketua Skuad Sabah yang turut menolak kepimpinan beliau.

”Saya telah dimaklumkan korum kehadiran mesyuarat hari ini tidak mencukupi namun diteruskan dengan memasukkan beberapa individu dan dilantik secara terus. Ini jelas merupakan tindakan yang sangat terdesak dari Christina. Saya mempunyai bukti kehadiran mereka yang berada di atas talian serta mereka yang hadir secara fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Ketua Cabang Kota Belud, Mustapha Sakmud digugurkan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Negeri, yang dipercayai berpunca daripada kegagalan beliau membantu Christina mendapatkan sokongan majoriti Ketua-ketua Cabang Keadilan Sabah.

”Hari ini genap 20 hari selepas mesyuarat sekretariat ketua-ketua Cabang yang sepatutnya dijadualkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu sebelum beliau membatalkan perjalanan kerana bencana banjir di Semenanjung.

”Desakan ini bukanlah baharu namun telah berpanjangan sejak empat tahun lalu. Malah Sekretariat Ketua-Ketua Cabang ini juga telah ditubuhkan dan bersama menolak kepimpinan Christina Liew sejak lebih setahun lalu.

”Saya selaku Pengerusi Sekretariat Ketua-ketua Cabang mewakili 16 Ketua Cabang serta Ketua-ketua sayap Keadilan Sabah menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menyelesaikan kemelut ini,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles