KUALA LUMPUR: Status Datuk Seri Rafizi Ramli dalam PKR kini menjadi tanda tanya apabila beliau diberikan Surat Tunjuk Sebab susulan kenyataan yang dilihat seolah-olah hilang keyakinan terhadap parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh memaklumkan notis itu dikeluarkan mengikut Fasal 9(1)(C) Perlembagaan PKR yang menyentuh soal pelucutan keanggotaan, khususnya jika seseorang ahli mengisytiharkan keluar parti.
Menurut beliau, tindakan itu juga berkait dengan kenyataan Rafizi yang menyebut beliau tidak mahu keluar parti ketika ini kerana bimbang implikasi Akta Anti Lompat Parti.
“Fasal tersebut merujuk kepada keadaan apabila seseorang anggota membuat pengisytiharan keluar parti. Sebab itu kita perlu dapatkan penjelasan rasmi daripada beliau,” katanya pada sidang media selepas Program Bazar Ramadan Rahmah di Kampung Baru, semalam .
Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, diberi tempoh sehingga tengah malam tadi untuk menjawab notis berkenaan.
Setakat program berlangsung, Fuziah berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas.
Beliau menjelaskan, jika hasrat keluar parti dianggap sebagai tindakan substantif, ia boleh membawa implikasi besar termasuk pelucutan keanggotaan parti dan seterusnya menjejaskan kedudukan sebagai Ahli Parlimen.
“Sebab itu kita beri ruang untuk beliau jelaskan apa sebenarnya hasrat beliau,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mengesahkan menerima notis tunjuk sebab daripada PKR atas dakwaan beliau telah mengisytiharkan keluar parti. – BERNAMA










