PKR Dakwa Jentera Parti Dalam Mood Sedia

KUALA LUMPUR: Tempoh singkat 22 bulan sebagai kerajaan persekutuan tidak mematahkan semangat PKR untuk kembali berkuasa selepas PRU15, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu mendakwa jentera parti kini bersedia mendepani pilihan raya dalam waktu terdekat ini, termasuk menetapkan beberapa strategi ke arah itu bukan lagi soal bila PRU akan diadakan.

“Fokus kita hari ini adalah pilihan raya dan Pengarah Pilihan Raya PKR (Rafizi Ramli) telah menetapkan beberapa strategi dan kita telah bersiap sedia. Bila PRU akan diadakan sama ada bulan depan atau pun tahun depan bukan soalnya lagi.

“Kita lihat semangat rakan-rakan kita (DAP dan Amanah) untuk turun dan bekerja begitu kuat sekali,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat Presiden di Konvensyen Pilihan Raya Keadilan hari ini, di Kompleks Belia dan Sukan Selangor itu.

Anwar, yang mengakui wujud kelemahan dalam kerajaan 22 bulan itu berkata antara strategi untuk kembali menang dan berkuasa adalah isu penggunaan logo.

“Kita tahu dalam tempoh pentadbiran itu ada sumbangannya dan ada juga kelemahannya.

“Namun, kalau kita pergi ke bawah semuanya membangkitkan soal PH, sebab itu dalam mesyuarat PH yang lalu, keputusan kita ialah untuk bersama dengan menggunakan satu logo.

“Kita bekerjasama dalam satu pasukan dan lakukan beberapa penyesuaian supaya tidak dibebankan rakyat dengan anggapan atau andaian bahawa kita mempunyai pendekatan yang sama,” ujar beliau.

BBerkaitan

Latest articles