PKR Dakwa Ada Cubaan Bawa MP Pembangkang Keluar Parti Sokong Kerajaan

PKR mendakwa beberapa ahli parlimen pembangkang menerima ugutan berkaitan isu cukai pendapatan, siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertujuan untuk mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga mendakwa ada sebilangan mereka turut ditawarkan projek termasuklah jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Keadilan mengambil maklum bahawa wujud langkah-langkah terancang sedang diusaha pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang termasuk dalam kalangan Keadilan.

“Hal ini berlaku tatkala kerajaan sedia ada hilang sokongan majoriti di Parlimen, dan dalam keadaan sidang Parlimen boleh diadakan sewaktu Darurat berkuatkuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Saifuddin menegaskan bahawa PKR mengecam perbuatan tersebut selain menyeru semua Ahli Parlimen PKR supaya setia dengan parti itu dan berpegang dengan perjuangan reformasi.

“Maka Keadilan mengecam langkah terdesak untuk membuatkan Ahli-Ahli Parlimen Keadilan keluar parti menjadi bebas atau menyertai parti kerajaan, sama ada melalui ugutan dan habuan.

“Ahli-ahli Parlimen Keadilan harus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan semangat Reformasi, serta sentiasa beringat bahawa rakyat menilai setiap tindakan kita dan siap membalasnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles