KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu, walaupun bekas Menteri Kewangan itu sudah mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, semua proses permohonan keahlian parti perlu dilakukan secara dalam talian dan melalui saringan serta kelulusan rasmi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Setiap permohonan akan diproses secara biasa. Ia akan dibawa ke mesyuarat MPP untuk pertimbangan lanjut, termasuk mendapatkan pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta suara akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul dalam kenyataan sebelum ini menyatakan beliau telah memaklumkan hasrat menyertai PKR kepada pucuk pimpinan parti, termasuk Presiden dan Setiausaha Agung PKR, dan akan mengikuti prosedur seperti mana ahli baharu yang lain.
Namun begitu, Fuziah menjelaskan bahawa niat sahaja tidak mencukupi, dan PKR tetap berpegang kepada prinsip ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban dalam menerima sesiapa sebagai ahli termasuk tokoh berprofil tinggi seperti Zafrul.
“Kami hargai minat beliau, tetapi setiap keputusan adalah kolektif, bukan automatik,” tambah Fuziah.
Dalam kenyataan sama, Fuziah turut memaklumkan bahawa beliau dimaklumkan Zafrul akan menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat, dan pihak parti mendoakan agar segala urusan beliau dipermudahkan.
“Keadilan mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya.