Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu dikaji dan diteliti, memandangkan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini di beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Perak.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) harian mengenai COVID-19 menyedari keperluan berkenaan memandangkan PKPP akan berakhir pada Disember depan namun situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini (5 Dis) dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda,” katanya dalam laman Facebooknya, malam ini.
Muhyiddin turut memuat naik beberapa keping gambar mesyuarat secara sidang video berkenaan, yang membincangkan situasi semasa pandemik dan langkah-langkah yang perlu diambil.
Beliau juga melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah, walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.