PKPB Bermula 4 Mei Ini, Harap Orang Ramai Patuh 9 SOP Ketat CPRC

Macam-macam reaksi orang ramai tentang keputusan kerajaan untuk membuka semula kegiatan ekonomi di negara ini secara berperingkat dengan mengikuti prosedur operasi (SOP) yang ketat bermula 4 Mei iaitu Isnin ini dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Rata-rata ramai yang mengkritik kerajaan ekoran keputusan berkenaan tetapi pada masa sama banyak syarikat khususnya syarikat mikro, kecil dan sederhana sudah mula merasai kesan akibat penularan wabak Covid-19 yang kini menjejaskan perniagaan mereka.

Banyak kumpulan kerajaan perlu memberikan perhatian termasuk rakyat yang tidak dapat bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada syarikat menyuruh mereka ambil cuti tanpa gaji.

Walaupun ada pelbagai reaksi, sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk kesejahteraan semua pihak.

Oleh sebab itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Sempena Hari Pekerja semalam menyatakan bahawa sektor ekonomi akan dibenarkan bergerak semula dengan berhati-hati.

Menurut beliau, Malaysia rugi RM2.4 bilion setiap hari sepanjang PKP dikuatkuasakan. Jumlah kerugian yang dialami kerajaan sejak18 Mac lepas adalah sebanyak RM63 bilion.

“Jika PKP diteruskan untuk tempoh sebulan lagi jumlah kerugian yang akan dialami adalah sebanyak RM35 bilion.

“Ini menjadikan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM98 bilion… hampir RM100 bilion,” katanya.

Jadi, eloklah orang ramai menerima dengan hati terbuka dan patuh pada SOP ketat yang ditetapkan kerajaan supaya jangkitan Covid-19 untuk naik secara mendadak dapat kita sama-sama elakkan.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Telegram rasminya menyenaraikan sembilan SOP yang perlu dipatuhi semua pihak terbabit termasuk orang ramai.

Sumber Telegram rasmi CPRC Kebangsaan.

1. Amalan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

2. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitiser.

3. Penggunaan penutup hidung dan mulut.

4. Saringan kesihatan di pintu masuk premis

5. Keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU.

6. Individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.

7. Bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial.

8. Menggalakkan transaksi secara atas talian.

9. Melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19.

Paling penting, bagi orang ramai ialah mereka perlu segera buat laporan kepada Kementerian Kesihatan jika ada maklumat berkaitan sesiapa yang dijangkiti Covid-19 supaya maklumat yang perlu seperti kontak rapat dapat dikesan dengan cepat.

Jika para netizen sudah mula keluar bekerja semula pada 4 Mei ini dan amalkan sembilan SOP ini dan menjaga jarak sosial. Rakyat yang terjejas boleh mula mencari rezeki semula dan pada masa sama semua orang terselamat dari penyakit Covid-19. – TRI

BBerkaitan

Latest articles