PKP: Hilang sumber pendapatan, anak pula hidap hidrosefalus

LAHAD DATU: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, itu nasib seorang ketua keluarga di Kampung Desa Bajau di sini yang hilang sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan pada masa sama perlu mengurus anak lelakinya yang menghidap hidrosefalus tahap empat.

Jillhan Jillan, 35, dulu menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu mencuci kereta secara bergerak, namun perniagaan itu terpaksa dihentikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas.

“Bila kita dikenakan PKP lagi, sumber pendapatan saya terputus. Saya perlu menyara isteri serta enam anak termasuk anak kelima Muhammad Rayhan Jillhan yang menghidap hidrosefalus sejak November 2019,” katanya kepada Bernama.

Jillhan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, terbeban untuk menampung kos membeli susu, lampin pakai buang dan ubat-ubatan Muhammad Rayhan, 5, termasuk perbelanjaan dapur.

Isterinya, Julianah Mad Salli, 36, berharap wujud sinar keajaiban dalam kehidupan keluarga termasuk anak mereka sembuh daripada hidrosefalus, penyakit penumpuan cairan di rongga otak sehingga meningkatkan tekanan pada otak sekali gus pembengkakan kepala.

Julianah berkata anak mereka itu dilahirkan dan membesar normal seperti kanak-kanak lain, aktif, manja dan petah bercakap sehingga pada 2019 Rayhan tiba-tiba jatuh sakit teruk dan selepas itu doktor mengesahkan penyakit itu ditahap kritikal.

“Penyakit Rayhan itu diketahui selepas membuat ujian MRI (pengimejan resonans magnetik) yang mendapati ada penumpukan cairan di rongga otaknya dan kemudian menjalani beberapa pembedahan untuk membuang lebihan cecair di kepala.

“Kali terakhir anak kami menjalani pembedahan pada Disember tahun lepas di hospital di sini dan ketika itu kami dinasihatkan bersedia dengan segala kemungkinan pembedahan tetapi Alhamdulillah, Rayhan masih bersama kami sehingga hari ini walaupun hanya terlantar sakit,” katanya hiba

Julianah turut berkongsi keletah Rayhan sebelum sakit yang merupakan seorang anak aktif dan bijak berkata-kata.

“Antara ayat yang saya ingat ‘besar nanti abang Yayan mahu jadi polis, mahu kerja bagus-bagus supaya mummy dapat jadi nenek cantik di rumah’ itu antara diungkapkan Rayhan kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sabah menghulurkan bantuan wang yang tidak dinyatakan jumlahnya dan barangan keperluan harian kepada keluarga Rayhan.

Pengarah Yadim Sabah Samin Ongki yang ditemui berkata sumbangan berkenaan diharapkan dapat mengurangkan beban kos kehidupan ditanggung keluarga itu.

BBerkaitan

Latest articles