PKP Di Enam Negeri Mulai 13 Jan Hingga 26 Jan

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilakukan untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam esok, Rabu, 13 Januari sehingga 26 Januari ini, ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Katanya, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh itu.

Menurut beliau, negeri yang dikenakan PKP adalah negeri berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian kesihatan (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

“Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19 ini, aktiviti sosial melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan tidak dibenarkan sama sekali.

“Bagaimanapun, bagi negeri di bawah pelaksanaan PKPP, aktiviti sosial dibenarkan, tetapi tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat,” katanya.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, jelas Muhyiddin, pergerakan rentas negeri dan daerah juga tidak dibenarkan di seluruh negara.

Kata beliau, susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah itu, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari ini.

“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan adalah terhad dalam 10 kilometer radius sahaja, manakala bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

“Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles