“Pintu Rumah Bangsa Dibuka Luas” – Zahid Pelawa Bekas Ahli Kembali Pada UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO bersedia membuka lembaran baharu dalam politik Melayu apabila menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Ummah Bangsa bagi memudahkan mana-mana bekas ahlinya kembali menyertai parti itu, sama ada secara individu atau beramai-ramai.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menganggap semua yang pernah pergi sebagai “keluarga” yang sentiasa dialu-alukan pulang ke rumah asal politik Melayu.

“Pintu rumah bangsa ini sentiasa terbuka. Di sinilah kita lahir. Untuk menyambut kepulangan saudara-mara kita, kita tubuh satu jawatankuasa khas penyatuan ummah bangsa,” katanya disambut sorakan lebih 6,000 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Dalam nada santai tetapi penuh makna, Zahid menyebut beberapa parti Melayu yang lahir daripada UMNO, termasuk PAS, PKR dan BERSATU, sambil bertanya kepada perwakilan sama ada mereka bersedia menerima “ahli keluarga” yang ingin kembali.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha membina “payung besar Melayu” tanpa UMNO sebelum ini tidak bertahan lama kerana tidak berpaut pada “rumah asal”.

“Kalau rumah sudah tersergam, kenapa perlu cari payung? Payung itu rebah sebab tidak bersandar pada rumah asalnya,” katanya.

Menurut Zahid, dari “rumah bangsa” itulah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu, sama ada kerana konflik, kekecewaan atau perbezaan hala tuju. Namun, beliau mengingatkan politik Melayu-Islam tidak boleh terus berpecah-pecah.

“Ini bukan sejarah untuk kita banggakan dengan angkuh, tapi untuk kita insafi. Sudah tiba masanya politik Melayu-Islam kembali bersatu,” ujarnya.

Zahid menegaskan UMNO bukan sekadar parti, tetapi tapak lahirnya kemerdekaan, Perlembagaan negara, pemartabatan Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Rumah ini bukan sekadar dinding dan bumbung. Ia paksi negara bangsa, yang memayungi semua tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan rumah itu juga perlu dibersihkan daripada “debu keangkuhan” supaya kembali menjadi tempat berteduh yang selesa buat semua.

“UMNO bukan parti elit. Ia lahir dari keringat rakyat. Bila ada yang hilang arah, bila ada yang rebah, kembalilah. Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan,” katanya, mengakhiri ucapan dengan seruan terbuka kepada semua yang pernah meninggalkan UMNO supaya pulang ke “rumah bangsa”.

BBerkaitan

Latest articles