Pindah Antara Negeri ‘Tindakan’ Buat Guru Enggan Vaksin

LANGKAWI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menolak kemungkinan tindakan pindah antara negeri terhadap 2,000 guru yang enggan menerima vaksin COVID-19 atau antivaksin.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, antara tindakan lain adalah keperluan untuk memindahkan guru-guru terbabit ke sekolah atau tempat lain yang lebih sesuai. 

Ia bertujuan mengelakkan guru-guru terlibat untuk berinteraksi secara langsung dengan murid, sekaligus menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Namun begitu, menurut Radzi, bilangan guru yang enggan menerima vaksin berkurangan kepada 2,000 orang, berbanding jumlah 2,500 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sehubungan itu kementerian masih meneruskan usaha menasihatkan mereka supaya divaksin kerana mereka perlu berhadapan dengan murid-murid.

“Kita sedang melihat bagaimana nak bawa keluar guru ini dengan menukar mereka ke tempat lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran antara negeri.

“Jumlahnya kecil, tetapi, apabila kita selidik ke tahap setiap sekolah, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kita akan ambil tindakan segera.

“Pada peringkat awal, kita nasihatkan supaya mereka divaksin kerana mereka perlu berhadapan dengan murid,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan pembukaan semula sekolah di sini bawah Fasa 4 di Kolej Vokasional Langkawi, hari ini.

Sementara itu tambah Radzi lagi, berdasarkan hasil data yang diperoleh, pihaknya mendapati terdapat sekolah-sekolah tertentu yang mana semua guru mengajar satu subjek sama tidak mahu divaksinkan.

“Jadi bagaimana kita nak teruskan pengajaran dan pembelajaran jika berada dalam konteks tersebut.

“Berkaitan tindakan lain, kita menunggu apakah keputusan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tentang pendekatan yang akan diambil daripada sudut perkhidmatan awam kepada guru-guru ini,” ujarnya.

Berita Berkaitan

Komen

Terkini