KUALA LUMPUR – Langkah pertama membentangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Akta Lompat Parti digubal adalah bersejarah dan membuktikan komitmen kerajaan untuk menangani tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen ‘melompat parti’ yang menjejaskan kestabilan politik negara.
Malah rata-rata ahli Parlimen yang membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin mengalu-alukan inisiatif diambil kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk merealisasikan isu ‘lompat parti’ diberi noktah.
Anthony Loke (PH-Seremban) berkata, perkara itu telah lama diperjuangkan tetapi kerajaan sebelum ini dilihat tidak melihat keperluan untuk menggubal akta itu sekali gus menunjukkan kerajaan komited dalam melaksanakan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan dan PH.
Saya rasakan hari ini satu hari bersejarah. Permulaan proses hari ini adalah hasil persefahaman dalam MoU kerajaan dengan PH (Pakatan Harapan).
…sepanjang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak melihat keperluan untuk menggubal akta ini, sehinggalah sekarang ia dilihat penting dan perlunya akta ini,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu.
Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan itu pula menyifatkan, pembentangan rang undang-undang pindaan itu merupakan langkah awal kepada penambahbaikan sistem demokrasi negara.
Setiausaha Agung UMNO itu berharap, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti itu akan dibentang secepat mungkin.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan, keputusan membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaan itu sebagai satu tahap yang menyenangkan selaras dengan MoU antara kerajaan dan PH.
Terima kasih kepada Perdana Menteri dan menteri kerana ambil langkah terima pandangan dan hormat semangat persefahaman yang dimeterai melalui MoU antara kerajaan dan PH.
Usaha ini adalah satu tahap yang menyenangkan kerana ini isu yang menarik minat rakyat, melibatkan soal menghormati mandat rakyat dan menolak pengkhianatan kepada mandat rakyat,” katanya.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkata, beliau kini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan pimpinan Ismail Sabri bersetuju untuk berbahas di Parlimen bagi meminda Rang Undang-undang Anti Lompat Parti bertepatan dengan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lepas.
Jiwa kita kacau dan sakit begitu lama tak kira di pihak mana yang lompat, bukan bila pihak sana (kerajaan) lompat, kita gembira atau pihak sini (pembangkang) lompat, di sana (kerajaan) pula gembira.
… Kami dah buat perjanjian MoU (oleh itu) jadilah Perdana Menteri dan buatlah kebaikan untuk rakyat sehingga pilihan raya akan datang… bila kita (pembangkang) tandatangan MoU maka kita ikut dan kita harap Perdana Menteri setakat ini kita lihat Alhamdulillah setia dengan MoU ini, katanya.
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas usaha dan kesungguhan mereka untuk menghalang lompat parti. – Bernama