Pimpinan Atasan Kena Tegas, Berani Ambil Tindakan Jika Pegawai, Anggota Terlibat Salah Laku

KUALA LUMPUR: Kesemua pegawai dan anggota yang memegang jawatan sebagai penyelia bermula daripada pucuk pimpinan sehingga ke bawah akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaannya yang terlibat dalam salah laku.

Peringatan itu disampaikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini, sambil menegaskan kesemua pihak di dalam badan beruniform itu perlu menjauhkan diri dari terlibat dengan salah laku.

Bahkan pimpinan atasan juga perlu tegas dan berani mengambil tindakan jika terdapat orang bawahannya tidak berdisiplin.

Katanya, tidak ada lagi alasan untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam salah laku kerana mereka mahu popular atau menjadikan aspek esprit de corps sebagai keengganan mengambil tindakan tegas.

“Bukan sekadar tindakan malahan teguran juga tidak diambil kerana tidak ada keberanian dan ketegasan.

“Semua pengarah, komisioner polis, ketua polis negeri, komander, komandan, pegawai-pegawai pemerintah, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua polis daerah wajib mengambil tindakan tegas dalam menguatkuasa Peraturan 3C iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ini tanpa gagal,” katanya ketika menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Perhimpunan Bulanan yang diadakan di Bukit Aman pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ayob Khan menegaskan, sebarang kegagalan pihak atasan akan diambil tindakan.

“Semua kontinjen, briged dan formasi dalam PDRM jangan hanya bergantung kepada pemeriksaan daripada JIPS dan naziran dari Bukit Aman untuk turun dan membuat pemeriksaan di lapangan.

“Semua pihak harus konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan Peraturan 3C ini seperti mana ditegaskan oleh Ketua Polis Negara sebelum ini bagi memastikan kita dapat membawa perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM,” tegasnya.

Selain itu, Ayob Khan menjelaskan, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab menguatkuasa undang-undang, PDRM mungkin akan dikritik dan ditohmah atas dakwaan tidak menjalankan tugas secara profesional atau siasatan serta tangkapan terpilih.

Malah seolah-oleh telah menjadi satu budaya di Malaysia apabila PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan dan tangkapan ke atas sesuatu pihak, mereka akan dituduh dan ditohmah.

“Tindakan diambil ke atas pihak A, mereka akan mengkritik kita. Pihak B pula akan memuji kita. Sebaliknya, sekiranya tindakan diambil ke atas pihak B, pihak A akan memuji kita.

“Sebagai agensi penguat kuasa yang terulung, kita tidak perlu takut, bimbang, gusar atau gabra. Selagi kita mengikut undang-undang, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan ikhlas dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab kita without fear or favour, kita tidak perlu bimbang.

“Kita bukan nak jadi popular, bukan nak jadi artis atau takut kehilangan followers FB, IG, TikTok. Sebaliknya terus tegas, ikhlas dan profesional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita,” kata Ayob Khan.

BBerkaitan

Latest articles