Pilihanraya Negeri Melaka: N21 DUN Duyong, Misi Mustahil Barisan Nasional

Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Melaka (PRN Melaka) baru sahaja melabuhkan tirainya dengan kemenangan selesa di pihak Barisan Nasional dengan 21 kerusi DUN berbanding 2 kerusi daripada Perikatan Nasional dan 5 kerusi DUN daripada Pakatan Harapan.

Kemenangan ini menyaksikan sokongan pelbagai golongan kepada Barisan Nasional dan UMNO semakin meningkat berbanding Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu.

Daripada kesemua Kerusi DUN yang dipertandingkan, Kawasan N21 DUN Duyong yang merupakan antara kawasan sangat menarik untuk dibuat analisis.

Hal ini kerana DUN Duyong menyaksikan buat julung-julung kalinya UMNO meletakkan calonnya kerana secara tradisinya kerusi itu ditandingi oleh calon BN dari parti MCA.

DUN Duyong juga telah menjadi kubu kuat Pakatan Harapan melalui Parti DAP yang memenangi kerusi itu pada PRU ke-14 yang lalu dengan majoriti 2,895. Angka majoriti ini agak besar untuk sebuah kerusi DUN di dalam Parlimen Kota Melaka yang mempunyai bilangan pengundi Kaum Melayu yang agak ramai iaitu sehingga 65% pengundi Melayu.

Dalam pertandingan enam penjuru itu, hanya tiga calon sahaja yang berdaya saing dan kompeten iaitu Mohd Noor Helmy dari Parti Barisan Nasional, Damien Baba Yeo dari Pakatan Harapan dan Datuk Kamarudin Sidek dari Perikatan Nasional.

Di atas kertas, DUN Duyong dinilai sebagai kawasan mustahil bagi Barisan Nasional merampas kerusi itu memandangkan populariti calon yang sangat seimbang kerana Damien Baba Yeo merupakan Setiausaha DAP Melaka dan Datuk Kamarudin Sidek ialah Pesuruhjaya PAS Melaka.

Manakala BN pula mengetengahkan Mohd Noor Helmy yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka dan juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) DUN Duyong.

Masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri memandangkan Duyong mempunyai dua demografi pengundi iaitu pengundi Bandar (Pengkalan Rama Tengah, Durian Daun dan Padang Semabok) dan pinggir bandar (Semabok, Perigi Hang Tuah dan Seri Duyong).

PRN Melaka kali ini menyaksikan peratus keluar mengundi DUN Duyong hanya kira-kira 68% sahaja berbanding 86% pada PRU ke-14 yang lalu.

Daripada lebih 18,000 pengundi DUN Duyong, hanya kira-kira 12,500 pengundi sahaja yang keluar mengundi menunjukkan kemenangan Barisan Nasional ini sedikit sebanyak juga dipengaruhi oleh pengundi Pakatan Harapan yang tidak keluar mengundi pada PRN kali ini.

Untuk rekod, pada PRU ke-14 lalu, Damien telah memperolehi lebih 7,000 pada PRU-14 yang lalu manakala dalam PRN kali ini, beliau hanya menerima 4,484 undi.

Beliau kehilangan lebih 3,000 undi yang mana berkemungkinan pengundi Damien pada PRU ke-14 tidak keluar mengundi ataupun beralih arah dengan mengundi calon-calon lain.

Di samping itu, undi Datuk Kamarudin Sidek agak konsisten iaitu sebanyak lebih kurang 2,800 undi menunjukkan pengundi-pengundi beliau yang wala’ dengan perjuangan Datuk Kamarudin Sidek kekal mengundi beliau.

ANALISIS DI ATAS KERTAS

Menurut ramai pemerhati DUN Duyong dikatakan satu kawasan yang sangat sukar dirampas oleh Barisan Nasional setelah PH melalui parti DAP telah memenangi dua penggal di kawasan itu.

DAP kelihatan kukuh dan berpengaruh dengan undi di kawasan bandar yang sangat memihak kepada mereka.

Datuk Kamarudin Sidek pula pasti mempunyai pengaruhnya yang tersendiri sebagai Pesuruhjaya PAS Melaka.

Persaingan sengit di DUN Duyong ini hanya dapat dimenangi dengan kempen yang berterusan, kreatif dan memenuhi selera pengundi, terutamanya pengundi muda yang menjadi majoriti pengundi di sini.

PERUBAHAN POLA PEGUNDIAN

Kempen Mohd Noor Helmy dijalankan dengan kreativiti tersendiri dan secara intensif.Dilihat Jentera beliau dibantu oleh Jentera Sabah dan Perlis merancakkan lagi kreativiti dan inovasi mereka dalam berkempen.

Calon Barisan Nasional DUN Duyong itu menjalankan kempen secara intensif di Media Sosial secara videografi, vlogging, media viral dan pelbagai usaha kreatif lain yang dilakukan saban hari.

Ketekunan jentera-jentera berkempen, ditambah pula dengan bantuan daripada UMNOSiswa yang membantu memberi idea dalam teriak perang (war cry), kempen siaraya bergerak di atas lori dan sebagainya menyebabkan lonjakan populariti Mohd Noor Helmy naik memuncak.

Selain itu, manifesto Mohd Noor Helmy yang realistik dan menyeluruh kepada pelbagai agenda pelan tindakan kemajuan di DUN Duyong berjaya menarik minat ramai pengundi terutamanya pengundi muda untuk mengundi Mohd Noor Helmy. Tambahan pula, calon bijak mempromosikan dirinya sebagai anak jati Duyong turut menjadi faktor beliau disokong oleh para pengundi.

Para pengundi DUN Duyong juga teruja dengan kempen Mohd Noor Helmy yang kreatif disertakan dengan suntingan lagu tersendiri dan moto Helmy janji, Helmy Jaga, Duyong Kita memberikan mesej yang jelas kepada pengundi untuk memilihnya mewakili suara mereka dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka bagi DUN Duyong.

Kerjasama dan kesungguhan jentera-jentera Pilihanraya di DUN Duyong membuah hasilnya apabila Mohd Noor Helmy berjaya merampas kembali kerusi DUN Duyong daripada penyandangnya, Damien Baba Yeo dengan majoriti 200 undi.

Kejayaan ini perlu diraikan kerana Mohd Noor Helmy bukan sahaja merampas kerusi DUN Duyong, malahan beliau turut berjaya mengurangkan pengundi Damien lebih 3,000 orang pada PRN kali ini.

Oleh Nizam @The Spotlight writer

Penulis merupakan pemerhati dan merupakan pengundi di DUN Duyong dan tidak menyertai ataupun bersimpati dengan mana-mana parti politik. Bagi penulis, rakyat kini semakin bijak untuk memilih mana kaca, ataupun permata. Bagi penulis, pemilihan calon seperti Noor Helmi merupakan satu pilihan yang tepat untuk menjaga penduduk di DUN Duyong.

Penafian

Artikel ini merupakan sumbangan pembaca yang telah menghubungi kami melalui email therakyatinsight.com@gmail.com. Pandangan beliau tidak mencerminkan pendirian para pentadbir portal the rakyat insight.

 

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini