Pilihan Anak Muda Hari Ini Penentu Masa Depan Mereka – PM

KUALA LUMPUR: Program Temu Anwar Bicara Pendidikan Madani yang diadakan di Pulau Pinang hari ini menyaksikan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap anak-anak muda supaya tidak salah memilih pemimpin negara.

Kata Anwar, generasi muda yang juga golongan pengundi muda berusia antara 18 hingga 25 tahun memiliki pengaruh besar dan kuat untuk menentukan corak politik masa depan negara.

Justeru, mereka diingatkan untuk membuat penilaian yang bijak, tepat dan sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara.

“Pilih sama ada sebagai pengundi muda anda mahu menentukan negara berbilang kaum yang memiliki dasar ekonomi jelas serta mampu menarik pelaburan, sekali gus menjamin masa depan anak-anak ataupun mahukan kerajaan seperti di negeri tertentu yang tiada pengalaman serta menakut-nakutkan pelabur.

“Sebab itulah, saya sangat mengharapkan anda semua sebagai anak-anak muda membuat keputusan dengan bijaksana untuk memastikan masa depan anda terjamin kerana anda yang akan menentukan masa depan masing-masing,” katanya ketika bertemu pelajar Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Bertam, petang tadi.

Anwar menjawab pertanyaan salah seorang pelajar matrikulasi berkenaan apakah sebagai pengundi 18 tahun yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini, mereka berpengaruh besar dalam mencorak politik negara.

“Mengapa saya susah payah dengan rakan saya Menteri Ekonomi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencari pelaburan, sebab sebenarnya ia adalah jaminan kerajaan kepada anak anak semua di sini untuk menjamin masa depan.

“Bayangkan tanpa pelaburan asing sangat susah untuk kita tambah peluang pekerjaan,
maka kena pilih dasar ekonomi dan pentadbiran yang jelas.

“Kamu anak-anak muda sekarang kena tentukan apa yang terbaik untuk negara anda, jangan hina warna kulit, jangan hina kaum lain, ‘life one another’.Ambil keputusan bijak untuk tentukan masa depan negara,” tegasnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles