Pilih Berdasarkan Rekod, Bukan Persepsi Kata Tengku Adnan

KOTA KINABALU — Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Bendahari UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan pengundi agar menilai rekod pentadbiran setiap parti secara objektif dan tidak terpengaruh dengan manipulasi persepsi atau fitnah musim pilihan raya.

Katanya kempen politik sering diselubungi tohmahan terhadap kepimpinan tertinggi parti, namun hakikat sebenar perlu dilihat berdasarkan sejarah dan pencapaian nyata ketika parti-parti terbabit memegang tampuk pentadbiran.

Menurutnya, hampir semua parti yang bertanding pada PRN kali ini, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN), pernah mentadbir Sabah — justeru rakyat wajar menilai kesan serta keadaan yang dialami ketika parti-parti tersebut berkuasa.

“Kepimpinan Banyak Parti Berpaksikan UMNO/BN”

Tengku Adnan turut menegaskan bahawa dua tokoh utama yang memimpin gabungan politik terbesar di Sabah ketika ini — Datuk Seri Hajiji Noor (GRS) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) — adalah produk kepimpinan UMNO/BN yang pernah diangkat oleh akar umbi sehingga menduduki jawatan penting termasuk menteri persekutuan.

Namun, katanya, selepas menerima kepercayaan tersebut, mereka meninggalkan perjuangan UMNO/BN dan kini menentang parti yang pernah menjadi platform untuk mengangkat kerjaya politik mereka.

“Itu ibarat kacang lupakan kulit. Sudah diangkat oleh parti, akhirnya mereka melompat dan menggigit tangan yang pernah menyuap,” katanya dalam satu catitan melalui laman facebooknya hari ini.

engku

Jelas Tengku Adnan yang juga Bekas Ahli Parlimen Putrajaya kepimpinan sedemikian bukan sahaja meninggalkan parti, tetapi turut mengkhianati rakyat apabila mengaut kemewahan peribadi tetapi rakyat Sabah kekal dalam keadaan sama tanpa pembaharuan bermakna.

Mengulas kritikan bahawa BN merupakan “dinosaur politik”, Tengku Adnan menyifatkannya sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada kelemahan pihak lain.

Beliau berkata walaupun Sabah kaya dengan hasil bumi, masalah asas seperti elektrik, air dan jalan raya yang digelar “3 serangkai” semakin parah selepas kerajaan bertukar tangan, termasuk projek mega yang terbengkalai seperti Lebuhraya Pan Borneo.

“Jangan salahkan BN atas kegagalan yang berlaku selepas kerajaan bertukar. Nilai kembali siapa yang berkuasa dan apa yang terjadi sepanjang mereka memerintah,” katanya.

“Bikin Balik Sabah”: BN Janji Pulihkan Kepercayaan dan Pembangunan

Tengku Adnan menegaskan bahawa BN hadir di PRN Sabah kali ini dengan misi jelas iaitu “Bikin Balik Sabah”, satu komitmen untuk menyambung semula agenda pembangunan yang dirancang sebelum ini dan memulihkan kelestarian pembangunan yang terhenti.

Katanya, rekod BN dalam pembangunan luar bandar, infrastruktur dan pelaksanaan projek strategik adalah bukti keupayaan parti itu untuk mentadbir secara konsisten.

“Parti lain sudah diberi peluang tetapi gagal. Maka rakyat wajar memilih yang terbaik demi masa depan mereka,” katanya.

Beliau menamatkan kenyataan dengan menyeru rakyat Sabah membuat keputusan bijak berdasarkan rekod sebenar.

“Pilihlah BN, demi rakyat, demi Sabah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles