Pijak al-Quran: Kerajaan Arah Siasatan Segera, Tiada Kompromi Isu Hina Agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak akan berdiam diri terhadap tindakan memuat naik kandungan memijak al-Quran di media sosial yang disifatkan sebagai melampau dan mencabar keharmonian negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan perbuatan pemilik akaun “ryandaselva” di platform Threads itu adalah biadab, menghina Islam serta mengguris sensitiviti masyarakat majmuk.

Menurut beliau, kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan telah mengarahkan siasatan serta-merta tanpa sebarang kompromi.

Sebagai Menteri Komunikasi, Fahmi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan itu akan diselaraskan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses siasatan berjalan menyeluruh mengikut lunas undang-undang.

“Sebarang perlakuan yang menyentuh sensitiviti agama dan menggugat ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Sejak semalam, imej seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai dan desakan agar tindakan tegas diambil segera.

BBerkaitan

Latest articles