KUALA LUMPUR: Kerajaan sama sekali tidak masuk campur dalam mana-mana siasatan terhadap pemimpin di negara ini, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah beliau mencabar mana-mana pihak yang menuduh kerajaan memberikan arahan politik kepada badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tampil mengemukakan bukti.
“Setiap tindakan yang diambil itu dijadikan bahan politik dan ini bahaya, kalau ada tohmahan dan bukti bahawa SPRM atau LHDN bergerak atau bertindak atas arahan politik, itu boleh dikemukakan (bukti).
“Tapi saya berikan jaminan bahawa dalam kerajaan perpaduan arahan kita jelas dengan bertindak dengan tegas supaya penyakit barah rasuah ini dapat dihapuskan dalam negara kita,” katanya di Dewan Negara hari ini, sebagai jawapan kepada soalan tambahan Senator Datuk Dominic Lau yang ingin tahu mekanisme yang digukanan SPRM bahawa setiap siasatan tidak dikuasai oleh arahan politik.
Anwar, dalam masa yang sama menjelaskan, kaedah siasatan SPRM terhadap mana-mana pemimpin politik di negara ini atas dakwaan tertentu adalah cukup jelas di mana terdapat laporan dan pihaknya hanya memberikan arahan untuk menjalankan siasatan secara profesional.
“Jadi oleh yang demikian untuk memutuskan kena lihat kepada fakta kalau semasa memegang kuasa kita menggunakan kuasa itu untuk memberikan projek kepada anak beranak, kroni dan memperkayakan diri jangan dipersoalkan mengapa SPRM siasat.
“Apabila SPRM siasat jangan dianggap ini sebagai tohmahan politik. Kekayaan tidak dapat diterangkan berapa banyak,’ kata Anwar lagi.
Beliau berkata demikian pula semasa menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas yang meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah SPRM serius untuk menyiasat segala perilaku rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan mantan-mantan Perdana Menteri khususnya Perdana Menteri keempat dan Perdana Menteri ketujuh.