KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan bagi kes dua pengasas bersama Revenue Group Bhd yang berdepan pertuduhan menyalahguna harta milik syarikat tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah, membantah laporan audit kewangan daripada dikemukakan kepada mahkamah sesyen, di sini hari ini.
Peguam pihak pembelaan, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berhujah bahawa laporan audit kewangan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah tidak relevan dengan pertuduhan yang dibuat kerana laporan tersebut dikemukakan sebelum tarikh pertuduhan dibuat iaitu 3 Oktober 2018.
“Jika saksi dirujuk pada 30 Jun 2018, saya tidak nampak relevan di atas pertuduhan dan prinsip undang-undang perlu jelas.
“Perlu jelas bahawa resolusi dan laporan kewangan adalah dua perkara yang berbeza,” katanya ketika sesi pemeriksaan balas Saksi Pendakwaan pertama iaitu Setiausaha syarikat Revenue Group Berhad, Thein Lee Mee, hari ini.
Sementara itu, peguam utama pihak pembelaan, Amir Hamzah Arshad turut berhujah yang sama bahawa dokumen yang dirujuk tidak relevan dengan pertuduhan dan turut mempersoal sama ada pertuduhan ini di bawah akta syarikat atau kanun keseksaan.
“Kewujudan dokumen dirujuk tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dibuat kerana ianya jauh dari tarikh kesalahan yang dibuat.
“Saksi (saksi pertama SP1) juga dilantik selepas tarikh tersebut, tetapi kesalahan pada Oktober 2018 dan dokumen diberikan sebelum tarikh tersebut dimana saksi berkenaan hanya dilantik pada 29 November 2018,” tegasnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berhujah bahawa laporan audit pada Oktober 2018 tersebut penting bagi menunjukkan siapa pengarah dan apa terjadi semasa sebelum waktu tersebut termasuk status kejadian.
Ketika di dalam sesi pemeriksaan balas juga, saksi pertama turut mengesahkan nama Nor Azzam Abdul Jalil tidak dinyatakan sebagai pengarah dalam kenyataan bersumpah yang dibuatnya.
Dalam pada itu, ketika saksi pertama dirujuk berhubung kenyataan di dalam keterangannya mengenai perenggan pelupusan ataupun pembelian, saksi pertama turut mengakui tidak mengetahui mengenai nilai ambang ( threshold) di dalam kenyataannya.
Ketika saksi dirujuk dengan dokumen audit 2018 dan saksi memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan aset dalam kumpulan Revenue Group Berhad adalah melebihi RM 53 juta pada tahun 2018 dan terus meningkat pada tahun berikutnya kepada lebih 80 juta.
Dan menurut seksyen 223, akta syarikat pembelian ataupun pelupusan harta kurang daripada 25% pada nilai aset kumpulan tidak memerlukan resolusi daripada ahli Lembaga pengarah.
Dan di laporan audit ini juga tidak ada resolusi dan tidak menyatakan sebarang pembelian kenderaaan yang dibuat dan saksi mengakuinya.
Ketika ditanya sepanjang pengetahuannya, adakah sebarang laporan dibuat kepada SSM mengenai kesalahan yang dibuat oleh tertuduh, seperti kesalahan di bawah Seksyen 223 Akta Syarikat dan saksi mengakuinya tidak ada.
Pada Mac 2023, pasangan adik beradik, Ng Shih Chiow, 51 dan Ng Shih Fang, 48, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rozina Ayob.
Mereka dituduh dengan curang menyebabkan pegawai CIMB Bank dikenali sebagai Lee Pei Yee melupuskan Toyota Vellfire, aset milik Revenue Group, tanpa kelulusan lembaga pengarah syarikat.
Pemilikan kereta itu didakwa dipindahkan kepada Shih Fang.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Genting Kelang di Setapak, pada 3 Okt 2018.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan hakim Rosli Ahmad dan bersambung esok.