Pihak Berkuasa Siasat Ajaran ‘Agama Melayu’

Tular sejak beberapa hari ini adalah satu klip video sekumpulan pihak tertentu melafazkan syahadah yang pelik yang dipercayai sebagai ‘agama Melayu’.

Sehubungan itu pihak berkuasa agama sedang menjalankan siasatan terhadap klip video berkenaan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, pihak berkuasa itu ketika ini turut merencanakan tindakan berhikmah ke atas kumpulan terbabit yang dikatakan cuba melahirkan agama baharu.

Katanya, kumpulan itu dikatakan berusaha untuk melahirkan agama baharu dengan mencipta lafaz “Ila ha ila rai la ma” dan disambung dengan pengakuan “Aku Melayu” sebanyak tujuh kali.

“Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baru yang dikenali sebagai Agama Melayu dan menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam arab, lalu mereka membawa Islam Melayu.

“Insya-Allah, dari sudut penguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan berhikmah.

“Bagi agensi dakwah seperti Yadim pula, kita sentiasa siap untuk memberi kefahaman dan pemurnian akidah serta fikrah,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Terdahulu klip video berdurasi 3:32 yang memaparkan seorang wanita memalu alat gendang (gong) yang dipegang seorang lelaki dengan lafaz “Ila ha ila rai la ma”, serta dua lelaki lagi duduk bersipuh seperti mengangkat sembah.

Dalam masa yang sama Nasrudin turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa oleh individu terbabit.

“Jelas ianya adalah ajaran yang sesat lagi menyesat.

“Saya sendiri pernah mengenali beliau sepintas lalu lewat 20 tahun yang lalu semasa beliau masih belajar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles