Kebebasan ekspresi diri bukanlah satu kebebasan mutlak lebih-lebih lagi apabila mereka sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata nista terhadap pemimpin negara.
Demikian tegas Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook Presiden Indonesia, Jokowi Widodo.
Ujarnya lagi meskipun berbeza pandangan politik, namun ia bukan alasan untuk memburukkan mana-mana pemimpin.
“Negara kini sedang bergelut dengan pendemik Covid-19 dan di dalam usaha pihak kerajaan berusaha mengukuhkan ekonomi negara, tikam menikam sesama bangsa nampaknya tidak pernah reda.
“Ada pula pihak yang secara berterusan berusaha mencetuskan suasana tidak harmoni dan terus mengambil kesempatan dengan “lempar batu sembunyi tangan”, katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berpandangan serangan yang dibuat di laman sosial itu dilakukan oleh pihak-pihak yang secara berterusan memberi tekanan kepada Muhyiddin dan bertindak di luar batasan atas tujuan ingin memalukan.
“Apa yang dilakukan oleh pihak terbabit sememangnya sudah melampau dan ia mencemar imej rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa yang tinggi.
“Mengapa mereka sanggup malukan pemimpin negara mereka sendiri. Sepatutnya dalam keadaan sukar ketika negara berdepan pandemik Covid-19, semua pihak harus memberi sokongan kepada pemimpin dan bukannya bertindak menghina seperi itu,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, sikap yang ditunjukkan oleh pihak-pihak terbabit sememangnya tidak boleh diterima dan harus dikecam kerana ia menampakkan satu perkara tidak elok pada pandangan orang luar.
Perkara sebegini tidak patut berulang dan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan, tegasnya.
Sehubungan itu Muhammad Suhaimi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku terbabit kerana telah menghina pemimpin negara secara terbuka.
Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) juga perlu bertindak terhadap perkara tersebut dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku kerana telah menyalahgunakan laman sosial dengan tujuan menghina dan mengaibkan pemimpin negara.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat bertindak segera kerana perbuatan menghina pemimpin negara merupakan satu tindakan biadab yang tidak boleh dimaafkan.
“Dalam hal ini pelaku wajar dikenakan tindakan yang setimpal dengan perbuatannya agar ia dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada diri pelaku itu sebaliknya turut memberi pengajaran kepada pihak lain, kerana di dalam membina negara bangsa, tegaknya bangsa kerana budi, runtuh budi rosaklah bangsa,” katanya.