KUALA LUMPUR: Pendirian Pakatan Harapan (PH) yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri pentadbirannya pada tahun ini, sekaligus menunjukkan gabungan itu langsung tidak bersedia dengan Pilihan Raya Umum (PRU) dan menghadapi Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak membuktikan PH tidak lagi diterima oleh pengundi mereka.
“Yang jelas, mereka yang kecewa mengundi PH pada PRU14 dahulu tidak mahu lagi mengundi PH termasuk bekas sekutu mereka, Bersatu.
“Protes ini dijangka berlaku dalam tiga cara. Pertama, tidak lagi mengundi PH, sebaliknya mengundi BN. Kedua, kelompok penyokong PH dan Bersatu memprotes tidak mahu turun mengundi. Ini jelas dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor.
“Ketiga, ada pula kata akan membuat undi rosak bagi protes PH. Inilah kebimbangan utama PH dan musuh BN. Maka, bagi mengelak kekalahan ini, mereka terus cuba elak daripada berdepan PRU yang tidak memihak kepada kemenangan mereka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam tadi.
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, tiga negeri bawah pentadbirannya, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden semalam dan fokus pentadbiran di tiga negeri itu kini adalah untuk menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan itu sebenarnya suara ketakutan PH, dengan memberi alasan kos pilihan raya sangat besar, selain menggunakan isu musim tengkujuh untuk elakkan PRU.
“Sedangkan, tindakan mereka tidak mahu bubar DUN serentak dengan Parlimen adalah pembaziran kos dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan.
“Alasan basi ini menyerlahkan lagi ketidakberanian pembangkang berdepan dengan BN,” katanya.
Kata mantan Timbalan Perdana Menteri lagi, alasan itu seolah mereka tidak yakin dan memperkecilkan pengalaman serta profesionalisme institusi awam termasuk agensi kesihatan, keselamatan serta agensi bencana.
Alasan itu juga, ujar beliau, seolah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada pengalaman dalam menguruskan proses pilihan raya yang dilaksanakan sebelum ini.
Sedangkan, SPR dan agensi pengurusan bencana misalnya adalah agensi profesional yang mempunyai prestasi dan sejarah pengurusan pilihan raya yang sangat efisien tanpa mengira musim dan bulan.
“Semua alasan pembangkang adalah untuk menutupi kehilangan sokongan rakyat yang sedang berlaku. Mereka kini dihantui oleh janji-janji pilihan raya 2018 yang tinggal janji kosong.
“Pengundi pula kini tidak lagi terpesona dengan cakap dan janji PH apabila pemimpin mereka berkempen sekarang ini, suasananya tidak lagi seperti PRU 2018.
“Inilah ketakutan PH dan musuh BN masa kini,” katanya.