PH Tekad Tingkatkan KDNK Johor Lebih 15 Peratus, Sasar Status Negeri Berpendapatan Tinggi

​LEDANG: Pakatan Harapan (PH) meletakkan azam dan keyakinan tinggi untuk memacu ekonomi Johor ke tahap yang lebih mampan, termasuk meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu kepada Malaysia melebihi 15 peratus sekiranya diberikan amanah untuk memimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

​Pengarah Program Majlis Pengumuman Calon PH PRN Johor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi reformasi penstrukturan ekonomi serta jalinan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

​Beliau yang juga Menteri Besar Selangor mengambil contoh model kejayaan pentadbiran Selangor, yang kini menyumbang sebanyak RM432 bilion kepada nilai ekonomi negara berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

​”Johor pada masa ini menyumbang sekitar 9.58 peratus dengan nilai ekonomi sebanyak RM158 bilion. Namun, Johor mempunyai potensi besar kerana struktur geografinya yang mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sama seperti Selangor.

​”Saya percaya dengan sokongan besar daripada barisan pimpinan di peringkat Persekutuan, seperti yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri dan barisan menteri Kabinet, kita mampu melonjakkan lagi nilai ekonomi Johor,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam tadi.

​Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir bagi mengumumkan barisan calon yang bakal bertanding, serta barisan kepimpinan tertinggi komponen parti PH.

​Mengulas lanjut mengenai sasaran status negeri berpendapatan tinggi, Amirudin berkata Johor perlu keluar daripada ‘perangkap pendapatan pertengahan’ (middle-income trap) memandangkan purata pendapatan isi rumah negeri itu kini berada pada paras RM44,762.

​Jelasnya, angka tersebut masih jauh di belakang lima negeri yang diiktiraf berpendapatan tinggi seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya, Labuan, Pulau Pinang, Sarawak, dan Selangor yang merekodkan purata pendapatan antara RM65,000 hingga RM136,000.

​Selain itu, Amirudin turut menekankan peri pentingnya mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi bagi mengurangkan kebergantungan rakyat Johor terhadap pasaran kerja di negara jiran.

​”Selangor berjaya mencipta 456,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh empat tahun (2022-2026), malah meraih pelaburan tertinggi sebanyak RM33 bilion pada suku pertama tahun ini. Johor tidak mengecewakan dengan 352,000 peluang kerja, namun masih ketinggalan sekitar 104,000 berbanding Selangor.

​”Dengan pentadbiran yang cekap dan berhemah, kita mahu anak-anak Johor tidak lagi perlu menyeberang Tambak Johor setiap pagi ke Singapura untuk mencari rezeki, sebaliknya Johor sendiri menjadi lubuk peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai usaha menangani tekanan inflasi melalui pengenalan program jualan kos sara hidup yang lebih menyeluruh, selain bertekad merapatkan jurang pendapatan antara daerah di Johor agar limpahan pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan Johor Bahru semata-mata, malah melimpah secara adil ke daerah-daerah lain seperti Tangkak, Segamat, Mersing, dan Pontian.

BBerkaitan

Latest articles