PH S’gor Yakin Gabungan Masih Utuh Di Sebalik Isu Lompat Parti

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berpendapat isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH yang ‘melompat’ kepada PKR boleh diselesaikan dengan komunikasi yang efektif.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan hubungan politik antara AMANAH dan PKR di negeri tersebut kekal kukuh walaupun terpalit dengan isu lompat parti.

“Saya rasa isu ini boleh diselesaikan jika ada kesefahaman antara pemimpin parti dan keputusan tidak boleh setakat peringkat negeri sahaja, ia kena pergi kepada pusat.

“Bagi pihak negeri, komunikasi antara kami masih lagi kukuh dan koalisi kami juga kukuh di negeri Selangor. Kami cuba untuk pertahankan sebaik mungkin,” katanya.

Dakwa Amirudin, dalam sesuatu gabungan, isu lompat parti adalah perkara biasa malah pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Katanya, PH Selangor sebaik mungkin cuba mempertahankan hubungan antara parti komponen dengan mengambil kira kerangka kerja secara menyeluruh.

“Selangor antara yang terkesan tetapi saya percaya semangat yang ada di dalam PH dan sebelum itu Pakatan Rakyat, semangat untuk berunding dan berbincang dalam situasi yang berbeza-beza.

“Kita ada pengalaman yang lama iaitu pada tahun 2008 di mana dua tiga kali Pakatan Rakyat hampir-hampir putus tetapi kerana kemampuan kita melakukan keputusan di pelbagai peringkat sama ada negeri atau pusat itu yang menjadi kekuatan.

“Kejujuran dalam perbincangan dan kepercayaan itu akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Minggu lalu, tiga ADUN Johor dilaporkan

bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai PKR.

Mereka ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Sebelum ini, dua ADUN AMANAH dari Selangor juga berbuat demikian selepas mendakwa parti bercelaru dalam soal sokongan sama ada terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles