PH Sedia Pertimbang Jika Parti Baru Tun M Nak Sertai Gabungan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan Pakatan Harapan yang kini dibentuk antara partinya, DAP dan Amanah sedia mempertimbangkan kemasukan parti baru yang dibentuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekiranya dia (Mahathir) minta kita pertimbanglah, biar dia minta dulu,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program jelajah presiden PKR peringkat Selangor di Shah Alam malam ini.

Terdahulu, pada petang semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru bersama lima lagi ahli Bersatu yang dipecat pada penghujung Mei lalu.

Parti yang belum diberi nama itu akan mengambil semangat Bersatu yang memperjuangkan kaum Melayu dan Bumiputera, yang didakwa Dr Mahathir bahawa Bersatu yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menyimpang dari matlamat asal.

Bekas pengerusi Bersatu itu memberitahu partinya sebagai bebas, iaitu tidak cendenrung bersama PH mahu pun Perikatan Nasional (PN).

Dr Mahathir juga berkata parti tersebut akan menjadi penentu kepada siapakah yang akan menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Buat masa ini, parti baru itu akan dipimpin oleh Dr Mahathir sebagai pengerusi dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presiden.