Segala keputusan berhubung pencalonan perdana menteri Pakatan Harapan (PH) hanya akan dibincang dan diputuskan menerusi satu mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.
Memetik laporan Malaysiakini, sumber daripada PKR itu tetap menegaskan bahawa partinya menolak pencalonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi jawatan berkenaan sebagaiman sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya.
PKR hanya menerima pencalonan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk digandingkan bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Kami sudah menolak pilihan kedua (yang menggandingkan Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar).
“Pada kami, tidak ada opsyen ketiga (menggandingkan Mohd Shafie dan Anwar).
“Kami tidak pernah membicangkan hal itu dan tidak bercadang untuk membincangkannya,” kata sumber terbabit.
Dr Mahathir pada minggu lalu mencadangkan nama Shafie sebagai calon PM memandangkan PKR berkeras menolak pencalonannya buat kali ketiga.
Bekas perdana menteri itu turut mendakwa cadangan berkenaan mendapat persetujuan DAP dan Amanah, namun kedua-dua parti itu berkata perkata itu perlu dibincangkan melalui parti terlebih dahulu dan menyifatkan pertemuan dengan Dr Mahathir sebelumnya sebagai tidak rasmi.
Malah sumber itu turut menggesa kepimpinan untuk berbincang berkenaan calon perdana menteri bagi membolehkan satu keputusan muktamad dicapai sebelum 13 Julai nanti.