Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan AMANAH perlu mengambil iktibar apa yang telah dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap gabungan itu ketika mereka membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Otai Reformis, gerakan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan sudah tiba masanya untuk PH mencorakkam hala tuju politik mereka sendiri tanpa melibatkan Dr Mahathir dan PEJUANG jika mahu menang dalam PRU15 akan datang.
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata sekiranya PH kembali bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu, tidak mustahil untuk gabungan itu terjerat dengan permainan Dr Mahathir, malah lebih menyedihkan apabila PKR-DAP-AMANAH akan dipergunakan.
Apatah lagi PEJUANG tidak begitu kukuh kedudukannya dengan hanya mempunyai empat orang Ahli Parlimen.
Otai Reformis turut mengingatkan gabungan pembangkang itu untuk berhati-hati dengan UMNO, sekiranya ada hasrat untuk mereka mengadakan kerjasama.
“Dr Mahathir atau UMNO akan ‘mempergunakan’ PH untuk tujuan ‘barter trade’ dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kepentingan peribadi atau parti masing-masing,” kata beliau.
“Otai Reformis sebulat suara menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Mahathir. Kami tiada tolak ansur dalam isu melibatkan Mahathir”, katanya memetik FMT.
Reaksi Razak itu ditujukan kepada kenyataan, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berhubung kesediaan Dr Mahathir menerima Anwar sebagai perdana menteri sekiranya Presiden PKR itu memperolehi sokongan mencukupi di Dewan Rakyat adalah petanda baik ke arah membentuk gagasan perdana pembangkang untuk menawan Putrajaya.
Kononnya dengan kerjasama dan sokongan Dr Mahathir itu akan mengukuhkan kerjasama dengan blok pembangkang lain, termasuk kumpulan yang dipimpin Dr Mahathir.
Bagaimanapun kenyataan Mahfuz itu disanggah sinis oleh Razak, apakah Ahli Parlimen Pokok Sena itu “kebulur” jawatan timbalan menteri seperti yang disandangnya ketika PH menjadi kerajaan.
Lebih lanjut Razak berkata rakyat dan penyokong PH masih ingat “pengkhianatan” Dr Mahathir yang meletak jawatan pada Februari tahun lalu dan menyebabkan kerajaan PH runtuh.
“Otai tidak nampak keperluan PH bekerjasama semula dengan Mahathir atau PEJUANG kerana kelicikan politik Dr Mahathir besar kemungkinan akan sekali lagi menyebabkan PH dipatuk ular buat kali kedua di lubang yang sama.”
Beliau tidak menolak dakwaan beberapa pemimpin parti komponen PH mengadakan rundingan sulit dengan kumpulan Dr Mahathir tanpa mendapat konsensus gabungan.
Bagaimanapun menurut Razak, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pimpinan PH sendiri, Dr Mahathir tidak pernah secara terbuka dan jelas menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai calon perdana menteri.
Sehubungan itu Razak menyarankan supaya pimpinan PH melupakan hasrat atau cadangan kerjasama dengan Dr Mahathir.
Apa yang perlu dilakukan kini adalah meningkatkan aktiviti menambah ahli parti masing masing bagi menghadapi PRU15.
Beliau juga berkata, PH perlu kembali fokus membela nasib rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19.
“Tiada usaha proaktif dibuat oleh pimpinan PH untuk membantu rakyat yang tertekan ekoran pandemik ini di negeri bukan di bawah pentadbiran PH.
“Sekiranya pimpinan PH dapat membantu mereka, ini boleh mengembalikan sokongan rakyat pada PRU15 kelak,”.