MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri selepas mengekalkan pendirian menentang pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pengerusi PKR Melaka yang menjalankan tugas, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong; serta Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang dihadiri kepimpinan PH negeri bersama lima ADUN PH Melaka pada hari ini.
PH Melaka memaklumkan bahawa lima ADUN gabungan itu akan menarik diri daripada kerajaan negeri berikutan pendirian mereka yang terus menolak pindaan perlembagaan tersebut.
Gabungan itu berkata tindakan berkenaan selaras dengan prinsip demokrasi, yang menyatakan bahawa Exco atau ADUN yang tidak lagi menyokong usul kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri tidak sewajarnya terus menikmati keistimewaan serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, PH Melaka turut mengumumkan bahawa semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada gabungan itu akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai bagi memastikan proses peralihan pentadbiran berjalan lancar.
Pada masa sama, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, kerajaan negeri dan penjawat awam atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh mereka berada dalam pentadbiran negeri.
Walaupun tidak lagi bersama kerajaan negeri, gabungan itu menegaskan lima ADUN PH akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat penggal.
Pada Selasa lalu, Dewan Undangan Negeri Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan ADUN lantikan, namun usul itu ditentang oleh kelima-lima ADUN PH.










