TAWAU: Seperti mana yang dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, cadangan untuk melantik tiga jawatan Tmbalan Perdana Menteri (TPM) akan diteruskan Pakatan Harapan (PH) jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan itu merangkumi seorang TPM masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Cadangan ini dari dulu lagi sejak zaman Pakatan Rakyat, kita akan ada satu TPM dari Semenanjung, satu dari Sabah dan satu dari Sarawak. Tetapi kalau ada perubahan, nanti kita akan bincang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah PH Sabah, semalam.
Sementara itu, Anwar ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi PH di Sabah, beliau memaklumkan perkara itu telah selesai dan akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.