PH Hipokrit Jika Tak Gelarkan Syed Saddiq Kluster Mahkamah

KUALA LUMPUR: Apakah Pakatan Harapan (PH) akan melabelkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ‘kluster mahkamah’ selepas Presiden MUDA itu diarahkan membela diri hari ini?

Itu persoalan ditimbulkan Pemuda UMNO selepas penyandang Parlimen Muar itu diarah membela diri atas empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga menyifatkan pimpinan PH sebagai hipokrit jika mengambil sikap berkecuali dalam kes melibatkan Syed Saddiq.

“Sudah tentulah kes ini masih berjalan. Namun hari ini kita akan mula melihat bagaimana hipokrasi Pakatan Harapan akan bermula.

“Jika mereka boleh menuduh Presiden UMNO sebagai kluster mahkamah walaupun telah dibebaskan dalam 40 pertuduhan VLN sebelum ini, adakah mereka akan melakukan perkara yang sama kepada Syed Saddiq?

“Rakyat akan melihat dan menilai betapa keadilan yang PH junjung selama ini hanyalah hipokrit dan bersifat terpilih,” kata Asyraf Wajdi.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu di akhir kes pendakwaan.

Syed Saddiq, 29, kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama berdiam diri dengan tidak menjawab pertuduhan atau kedua memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pilihan ketiga pula, memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Tertuduh kemudian memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Mengikut pertuduhan Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

BBerkaitan

Latest articles