KUALA LUMPUR: Cakap-cakap pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya tiada keperluan untu mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lebih awal, termasuk menggunakan alasan musim banjir hanya sekadar lakonan mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka dahulu.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok berkata, jelas PH ‘bijak’ dengan strategi politiknya iaitu menyalahkan kerajaan yang kononnya tidak menghiraukan kepentingan rakyat.
Namun, dalam masa PH mengkritik BN, gagasan pembangkang itu rupa-rupanya sedang giat berkempen bagi meraih sokongan seolah-olah esok adalah hari mengundi.
“PH dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk menutup memori pengundi susulan kegagalan PH selama menjadi kerajaan pada tahun 2018.
“Walaupun sudah diberikan kepercayaan dan mandat rakyat pada PRU-14 lalu, namun PH gagal memberikan prestasi yang baik kepada rakyat, malah pemerintahan PH menjadikan Malaysia melalui zaman gelap selama 22 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chin Kok juga berkata, ramai pemimpin PH menggunakan alasan kerajaan tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat kerana mahu mengadakan PRU-15 semasa musim banjir.
Walhal Parlimen belum lagi dibubarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh-tarikh penting PRU-15.
“Malah terdapat juga segelintir pemimpin pembangkang yang mengheret rakyat turun ke jalan raya untuk mengadakan protes, juga menggunakan naratif sama, kononnya kerajaan tidak prihatin dengan keselamatan rakyat.
“Namun apa yang menghairankan, kebanyakan pemimpin PH dilihat aktif dengan aktiviti kempen politik seperti Jelajah Trak Ayuh Malaysia dan kempen-kempen politik di media sosial,” jelasnya.