Pesuruhjaya Tinggi Australia Kunjungi Anifah Aman

Presiden Parti Cinta Sabah yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menerima lawatan daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia, Tuan Yang Terutama Andrew Goledzinowski AM di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Berkongsi siaran melalui Facebook Rasminya,  Anifah berkata beliau sempat berbincang mengenai pelbagai isu, antara lain termasuk isu ancaman kepada kedaulatan Sabah, dan juga perihal pilihanraya negeri dan umum akan datang.


Anifah juga turut berkongsi dengan TYT Goledzinowski mengenai visi Parti Cinta Sabah untuk menubuhkan dan membentuk Kerajaan Negeri Sabah kelak katanya lagi.

Untuk rekod Anifah Aman dilantik sebagai presiden baru Parti Cinta Sabah selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu.

Parti tersebut meluluskan pindaan untuk menukar nama kepada Parti Kesedaran Rakyat Sabah, berserta simbol dan bendera baru.

Anifah sebelum ini turut berkata sudah tiba masanya bagi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga merupakan abangnya memberi peluang kepada muka baharu untuk mentadbir Sabah.

“Sebagai rakyat Sabah, saya menghargai apa yang Musa telah lakukan, tetapi saya fikir masanya telah berlalu. Biar orang baharu mengambil alih. Musa abang saya, saya sayang beliau, tetapi (dalam) politik (ia) berbeza,” katanya.

Anifah sebelum ini juga terpaksa mengosongkan Kerusi Parlimen Kimanis selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Anifah tidak sah dan terbatal.

Mahkamah Pilihan Raya mendapati ada percanggahan dalam pengendalian proses pilihan raya dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya secara meluas, yang menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

 

 

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini