KOTA KINABALU: Seorang pesara guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengeluarkan ugutan terhadap pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menjadi saksi dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.
Tertuduh, Kamul Kamarudin, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut kertas pertuduhan, Kamul didakwa menggunakan akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ dengan memuat naik hantaran berbentuk ancaman berbunyi:
“Mau intai bah ni Dr di mana dia tinggal… bila dia kerja… upah bah… pemandu langgar lari. Kita patut intai doktor ini di mana dia tinggal… bila dia bekerja… upah seseorang… pemandu langgar lari.”
Ugutan itu didakwa dibuat dengan niat menimbulkan kegusaran dan dibaca sendiri oleh Dr Jessie pada 5 September lalu jam 4.15 petang di Taman Luyang, Kota Kinabalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pesalah boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 sehari jika kesalahan berterusan selepas sabitan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles dan Eugenie Meredith Gilbert, manakala tertuduh diwakili peguam Elhanan James.
Lovely mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin, namun peguam tertuduh memohon jumlah lebih rendah dengan alasan anak guamnya adalah penduduk tempatan Sabah, seorang pesara guru besar di Semporna, serta telah memberikan kerjasama penuh kepada polis sejak ditahan pada 8 September lalu.
Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 29 September ini sebagai tarikh pengurusan kes.
Minggu lalu, Dr Jessie yang bertugas di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) membuat laporan polis selepas menerima ugutan daripada warganet susulan keterangannya dalam inkues.
Pada 4 September, beliau menyatakan kepada Mahkamah Koroner bahawa besar kemungkinan Zara melompat sendiri dari asrama dengan bergayut pada jeriji besi sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah pada awal pagi 16 Julai lalu.
Namun, beliau menolak kemungkinan pelajar itu ditolak atau diserang pihak lain hingga jatuh.