Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan bermula 18 Mac lalu, hampir 20,000 individu telah ditangkap kerana ingkar.
Namun, kesemua yang ditangkap dan didakwa di mahkamah serta yang sedang menjalani hukuman penjara tidak akan direkodkan sebagai bantuan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dengan memaklumkan ada di antara individu berkenaan adalah golongan remaja sekaligus memberi kesan kepada masa depan mereka.
“Apabila ada rekod (banduan) nanti, mereka (remaja) susah nak cari kerja. Itu yang kami ambil kira. Jadi, tiada rekod banduan untuk mereka,” lapor Berita Harian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada baru-baru ini mengesahkan nama pesalah PKP tidak dimasukkan dalam sistem rekod jenayah Polis Diraja Malaysia.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa ia bukanlah ‘tiket’ untuk orang ramai ingkar PKP yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Sementara itu, Zulkifli berkata 11 penjara sementara di seluruh negara digunakan sebagai pusat tahanan baharu dengan lebih 300 individu berada di Penjara Kajang dan Penjara Sementara Maktab Penjara Malaysia.