Pesakit Diberi Rawatan Mengikut Keperluan Kemanusiaan, Hospital Bersalin Razif Perjelas Tahan Mayat Bayi 2 Minggu Dalam Peti Beku

KUALA LUMPUR: Hospital bersalin Razif (HBR) menolak dakwaan tular di media sosial bahawa pihaknya terlibat dengan kes penyimpanan mayat bayi di dalam peti sejuk selama dua minggu baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, HBR menjelaskan mereka memberikan layanan berdasarkan keperluan kemanusiaan walaupun pesakit tidak membuat sebarang tempahan atau saringan awal di hospital.

Jelas pihaknya, ibu mangsa tidak pernah menjalani pemeriksaan sepanjang kehamilan.

“Pesakit ini yang mendakwa dalam kehamilan pertamanya datang ke HBR ketika dia sedang mengandung.

“Dia tidak pernah menjalani pemeriksaan antenatal sepanjang kehamilannya. Dia mendakwa dia memantau kehamilannya hanya menggunakan perisian aplikasi telefon,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Menurut HBR lagi, wanita tersebut dihantar ke hospital oleh seorang lelaki yang pada mulanya dikenal pasti sebagai “suami” tetapi kemudian didakwa bukan pasangan sah.

Jelasnya, selepas bayi itu meninggal dunia, suami telah diminta untuk menguruskan urusan pengebumian, namun lelaki tersebut meninggalkan hospital dan tidak kembali.

Bayi yang dilahirkan mengalami sindrom cyclops, dengan satu mata serta tanpa hidung dan anus. Bayi itu hanya sempat hidup beberapa minit selepas dilahirkan meskipun rawatan kecemasan telah diberikan.

“Pesakit, yang juga dijadualkan untuk keluar hospital keesokan harinya, memaklumkan bahawa dia tidak dapat menyelesaikan bil hospital berjumlah RM2,480.

“Dia mendakwa bahawa “suami” akan menguruskan pembayaran serta pengebumian, namun janji tersebut tidak ditunaikan,” jelas HBR.

Mengulas lanjut, jelas HBR pihak hospital telah menghubungi pesakit untuk menyelesaikan urusan pengebumian, tetapi wanita itu tetap menyatakan bahawa semua keputusan akan dibuat oleh suami yang tidak dapat dikesan.

Tambah HBR, pesakit juga enggan memberikan maklumat hubungan ahli keluarga atau kenalan lain untuk membantu proses ini.

Baru-baru ini tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang bayi yang meninggal dunia dibekukan oleh pihak hospital swasta.

Difahamkan, bayi yang dilahirkan pada 24 November lalu ditahan selama dua minggu dan diletakkan di dalam peti sejuk.

Menurut hantaran yang dikongsi oleh pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai, menerusi Facebook miliknya, tindakan meletakkan bayi dalam peti sejuk dilakukan kerana ayahnya tidak mampu membayar bil kos rawatan.

Dalam pada itu, pihak HBR meminta semua pihak untuk menghormati privasi pesakit dan menyerahkan perkara ini kepada pihak yang berwajib.

BBerkaitan

Latest articles